MALAYSIA sekali lagi bakal menyertai Worldskills Competition (WSC) 2024, iaitu sebuah pertandingan bagi mengiktiraf bakat kemahiran di peringkat antarabangsa sekali gus membawa nama negara ke satu tahap tinggi di persada dunia khususnya dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Penyertaan kontinjen negara ke WSC kali ke-47 ini akan berlangsung pada 7 hingga 16 September depan di Lyon, Perancis diketuai oleh Chef de Mission, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dengan penyertaan seramai 15 orang peserta, 14 orang pakar dan sembilan orang pegawai pengiring.
Malaysia akan menyertai sebanyak 14 bidang kemahiran antaranya bidang-bidang berteknologi tinggi seperti Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Web Technologies, Automobile Technology, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.
Kontinjen Negara ke WSC Lyon 2024 adalah di bawah kelolaan dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan sembilan bidang kemahiran diuruskan KESUMA, manakala lima lagi bidang kemahiran berkaitan industri pembinaan diuruskan KKR.
Peserta-peserta negara yang dipilih adalah dalam kalangan pelajar institusi TVET dan institusi pengajian tinggi lain iaitu Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan GIATMARA Malaysia.
Turut menyertai ialah Kolej Vokasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) dan Sense Perfect International College (SPIC).
Peserta-peserta ini pernah mencapai keputusan cemerlang dalam beberapa pertandingan peringkat dunia lain seperti WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023, WorldSkills ASEAN Singapura 2023, WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2022 dan 2023.
Demi menunjukkan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap penyertaan belia negara ke pertandingan kemahiran berprestij ini, program Road to Lyon 2024 diluncurkan Jumaat lalu yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Usaha ini bertujuan meningkatkan prestasi peserta negara di bawah sekretariat bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KESUMA dan KKR yang diterajui Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Program latihan persediaan intensif dirangka bagi memantapkan peserta dari segi kemahiran teknikal, pengetahuan, jati diri, motivasi, kekuatan mental dan fizikal serta disiplin bagi menghadapi cabaran pertandingan peringkat dunia nanti.