Pada 10 Jun 2026, telah berlangsung Program Perkongsian Ilmu Projek Tahun Akhir I (PTAI) Program Teknologi Elektronik yang disampaikan oleh Penyelaras Projek Tahun Akhir Program, Ts. Jane Anak Julius Nanta. Program ini diadakan bagi memberi penerangan dan panduan kepada para pelajar berkaitan pelaksanaan PTA, termasuk prosedur, penilaian serta penyediaan laporan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sepanjang sesi perkongsian, penceramah menerangkan tujuan pelaksanaan Projek Tahun Akhir sebagai salah satu keperluan dalam struktur program diploma di Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa setiap pelajar diploma perlu melaksanakan PTA bagi mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta meningkatkan kemahiran dalam menjalankan kajian atau menghasilkan sesuatu projek yang berkualiti. Selain itu, peserta turut diberikan penerangan mengenai jenis-jenis Projek Tahun Akhir yang boleh dilaksanakan, iaitu sama ada berbentuk projek nyata atau kajian. Penceramah turut menggalakkan pelajar memilih tajuk yang bersesuaian dengan bidang pengajian serta mampu memberikan pengalaman dan ilmu baharu sepanjang proses penyelidikan dijalankan.
Ts. Jane Anak Julius Nanta juga menerangkan beberapa dokumen penting yang perlu dirujuk oleh pelajar seperti silibus program, course outline dan Garis Panduan Projek Tahun Akhir (BPLTV). Beliau turut menghuraikan komponen penilaian bagi PTA 1 yang merangkumi kertas cadangan, buku log, pembentangan kertas cadangan serta kemajuan projek mengikut Carta Gantt. Bagi PTA 2 pula, penilaian memberi tumpuan kepada laporan penulisan dan hasil projek yang telah disiapkan. Penyelaras turut mengingatkan para pelajar supaya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan Projek Tahun Akhir dan mengelakkan sikap sambil lewa. Program ini telah memberikan pendedahan yang jelas mengenai pelaksanaan Projek Tahun Akhir serta membantu pelajar memahami setiap proses, keperluan dan aspek penilaian yang perlu diberi perhatian. Ilmu yang diperoleh melalui perkongsian ini akan menjadi panduan yang berguna dalam memastikan Projek Tahun Akhir dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkualiti.
Ringkasan Pelaksanaan
Pada 28 Ogos 2026, telah berlangsung Pembentangan Projek Tahun Akhir I (PTAI). Tema PTA pada tahun 2026 ini ialah AI. Panel penilai yang hadir ialah Puan Kurniawati binti Ilias (Timbalan Pengarah Akademik), Ts. Haidzum Hazwani binti Hairi (Ketua Program Teknologi Elektrik) dan Ts. Paul Kenny Tshong (Pensyarah Program Teknologi Automotif). Terdapat 11 kumpulan pembentangan yang terdiri daripada 23 orang pelajar Diploma semester 3 Kohort 2025. Fokus pembentangan merangkumi penyataan masalah, objektif projek, rajah blok sistem, litar skematik awal, dan metodologi kajian. Panel penilai menguji kebolehlaksanaan (feasibility) projek daripada aspek teknikal, keselamatan litar, kos komponen, dan ketersediaan bahan di pasaran. Sesi soal jawab menumpukan kepada kefahaman pelajar tentang fungsi komponen utama dan logik pengaturcaraan yang akan digunakan.
Hasil / Impak Aktiviti
Pelajar menerima cadangan pemurnian reka bentuk litar dan pengaturcaraan daripada panel penilai bagi mengelakkan kegagalan fungsi prototaip pada fasa PTA 2. Selain itu, memastikan projek yang dibangunkan adalah relevan dengan perkembangan industri elektronik semasa dan mematuhi standard Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV).